PENDAHULUAN
Artikel ini telah diterbitkan oleh majalah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) keluaran 2/2009. Artikel ini saya sediakan secara ringkas dan padat agar pembaca yang kebayakkannya terdiri dari masyarakat awam dapat memahami isi kandungan yang ingin saya sampaikan ini dengan mudah. Saya juga berdoa agar usaha dakwah saya yang tidak seberapa ini akan berterusan dan mendapat keredhaan dari Allah Taala.
Berikut adalah artikel asal yang bertajuk Islam dan Iman:
Apa Itu Islam?
Islam dari segi bahasa ialah tunduk dan menyerah kepada Allah Taala. Dari segi syarak pula ialah agama yang dibina di atas lima asas (Rukun Islam) iaitu:
01. (penyaksian) bahawa tiada tuhan melainkan Allah Taala dan bahawasanya Nabi Muhammad S.A.W. itu utusan Allah Taala (Rasulullah S.A.W.).
02. Mendirikan solat fardhu lima kali sehari di dalam waktunya dengan rukun dan syarat yang sempurna.
03. Mengeluarkan zakat setelah cukup kadar dan waktunya.
04. Berpuasa di bulan Ramadhan.
05. Menunaikan haji sekali seumur hidup bagi sesiapa yang berkemampuan.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Islam dibina di atas lima perkara: Penyaksian bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, mengerjakan haji ke Baitullah dan puasa bulan Ramadhan.
Riwayat Bukhari dan Muslim).
Apa Itu Iman?
Iman dari segi bahasa ialah membenarkan. Dari segi syarak pula ialah membenarkan dengan keyakinan yang tidak terbelah bagi (Rukun Iman) kepada:
01. Allah Taala yang Maha Esa dan Maha Pencipta serta tiada sekutu bagiNya.
02. Malaikat yang merupakan hamba-hambaNya yang mulia dan sentiasa taat kepada suruhan Allah Taala.
03. Kitab yang diturunkan oleh Allah Taala sebagai syariat kepada manusia.
04. Rasul yang telah dipilih dan diutuskan olehNya kepada manusia untuk memberi petunjuk.
05. Hari Kiamat yang pasti berlaku untuk menghitung segala amalan manusia.
06. Qada dan Qadar yang berlaku samada baik atau buruk semuanya adalah ketentuan dariNya. Setiap perkara yang berlaku terdapat hikmah yang tersembunyi. Namun kita tetap dikehendaki untuk berusaha bagi memperolehi kebaikkan dan kejayaan.
Firman Allah Taala bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah Taala dan rasulNya dan kepada kitab al-Quran yang telah diturunkan kepada rasulNya (Nabi Muhammad S.A.W.) dan juga kepada kitab-kitab suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. Dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya dan rasul-rasulNya dan juga Hari akhirat maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya.
Surah an-Nisaa: Ayat 136).
Apakah Persamaan Dan Perbezaan Di Antara Islam Dan Iman?
Dari perbincangan di atas maka dapatlah kita ketahui bahawa Islam dan Iman adalah dua hakikat yang berbeza dari sudut bahasa dan syarak. Oleh itu, apabila disebut salah satu daripadanya itu maka ia juga memberi makna kepada yang satu lagi. Iman tidak dikira tanpa Islam sepertimana Islam juga tidak dikira tanpa iman kerana kedua-duanya saling memerlukan. Jadi mestilah beriman dengan hati serta beramal dengan anggota tubuh badan. Namun jika ia disebut kedua-duanya sekaligus dalam satu ayat yang sama maka masing-masing mempunyai makna yang berbeza untuk diperjelaskan.
Bagaimanakah Iman Yang Sempurna?
Keimanan yang sempurna mestilah membenarkan (meyakini) dengan hati, mengakui dengan lidah dan beramal dengan perbuatan. Inilah ciri-ciri serta syarat-syarat untuk mendapat kesempurnaan iman itu. Namun kesempurnaan iman tidaklah hanya terletak pada Rukun Iman sahaja bahkan ia lebih luas untuk diperbincangkan di sini. Antara contohnya:
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia mengasihi untuk saudaranya apa yang dia kasih untuk dirinya sendiri.
Riwayat Bukhari dan Muslim).
Pada al-Hadis S.A.W. di atas menerangkan kepada kita bahawa iman tidak bertunjang di dalam diri sendiri semata-mata serta tidak teguh di dalam hati dan tidak sempurna di dalam dada seseorang Islam kecuali apabila dia menjadi manusia yang baik, jauh daripada sifat keakuan, iri hati, membenci dan hasad dengki. Dengan itu dia akan mengasihi dan membantu orang lain dengan apa yang dia suka untuk dirinya sendiri seperti selamat daripada kejahatan dan seksaan, seronok dengan kesenangan hidup, berjaya mendapat keredhaan Allah Taala serta mendekatkan diri kepadaNya. Seorang sahabat Nabi S.A.W. bernama Muaz R.A. telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W. tentang iman yang paling afdhal (baik) maka baginda S.A.W. menjawab:
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Engkau mengasihi untuk manusia sesuatu yang engkau suka untuk dirimu sendiri dan engkau membenci untuk mereka sesuatu yang engkau benci untuk dirimu sendiri.
Riwayat Ahmad).
Apakah Matlamat Ibadat?
Ibadat yang dikehendaki di dalam Islam bukanlah gambaran dan bentuknya yang boleh dilihat dengan pandangan semata-mata akan tetapi yang dikehendaki oleh Islam dengan ibadat ialah tujuan serta makna dan pelaksanaan sesuatu ibadat itu. Oleh itu, tiada manfaat solat yang tidak dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar sebagaimana tiada faedah juga puasa yang pelakunya tidak dapat meninggalkan kebatilan. Walaubagaimanapun tidaklah beerti kita boleh meninggalkan ibadat jika tidak mencapai hasilnya akan tetapi yang dikehendaki di sini ialah sentiasa berusaha membawa diri supaya ikhlas dan cuba mencapai segala tujuannya. Kesimpulannya: Kita memahami bahawa Islam itu adalah terdiri daripada aqidah dan amalan. Maka tiada manfaat serta faedah tanpa iman sebagaimana tidak wujud iman tanpa amalan.
Firman Allah Taala bermaksud:
Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam.
Surah ali-Imran: Ayat 19).
buluh.iluvislam.com
Wallahualam.
Posted in Aqidah, Dakwah