Isnin, 10 September 2012

MENJAGA RAHSIA RUMAH TANGGA...

Dipetik dari Web Jalinan Keluarga
Majalah Sinar Rohani, Mac 2003

Rumah tangga perlu dibina berasaskan kepada nilai-nilai murni yang cukup
sempurna kerana rumahtangga yang sempurna dan bahagia akan mampu
menjamin lahirnya suami, isteri, ibu bapa dan anak-anak yang berkualiti. Untuk
itu seharusnya suami isteri membuat persediaan secukupnya berkenaan ilmu
rumahtangga untuk diaplikasikan dalam kehidupan berkeluarga. Betapa tidak,
rata-rata ibu bapa tidak begitu serius dalam mengendalikan urusan rumah
tangga mereka. Cukuplah sekadar menyediakan makan pakai serta
menguruskan persekolahan anak-anak tanpa mementingkan unsur kasih sayang
dan merapatkan hubungan antara kesemua ahli keluarga. Kesannya berlakulah
kes perceraian yang bukan sahaja melibatkan golongan muda bahkan yang
sudah tua. Malah yang lebih menyedihkan, kerosakan rumah tangga ini
menyebabkan pelbagai isu serius timbul seperti penderaan terhadap isteri, anak,
sumbang mahram dan seumpamanya.

Mengawal Sikap

Kebijaksanaan suami isteri dalam mengendalikan rumah tangga adalah aspek
yang paling penting dalam menjaga kerukunan sebuah keluarga kerana di antara
unsur yang boleh mengganggu hubungan kasih sayang ialah kegagalan pihak
suami atau isteri dalam menjaga rahsia rumahtangga di mana banyak sekali
rumah tangga yang kucar-kacir disebabkan suami atau isteri yang bersikap suka
menjaja dan menyebarkan rahsia pasangannya kepada orang lain.

Hakikat Rahsia

Hakikat rahsia rumahtangga yang dimaksudkan sebenarnya adalah terbahagi
kepada beberapa bentuk yang perlu diketahui kedudukannya seperti:

1. Rahsia khusus: Rahsia-rahsia khusus adalah hal peribadi yang diminta
secara khusus oleh suami atau isteri kepada pasangannya supaya dirahsiakan.
Iamam al-Ghazali ada mencatatkan di dalam kitabnya Mukasyafatu al-Qulub
tentang beberapa tafsiran ulama mengenai perintah Allah kepada orang-orang
mukmin supaya menjaga dan di mana antara amanah itu ialah “satu perkataan
atau ayat” yang diamanahkan supaya dijaga dan dirahsiakan. Maka wajib
menjaga amanah tersebut. Begitu juga sesuatu yang dibisikkan kepada
pasangan dengan permintaan supaya ia menjadi rahsia antara mereka berdua,
maka ia tergolong dalam amanah yang wajib dijaga.

2. Rahsia Yang Menyentuh Keselamatan: Mungkin ada orang yang
memusuhi pasangan kita berniat jahat dan hendak mengkhianati dan
menganiayainya. Musuh itu mungkin menyamar dengan meminta daripada kita
segala maklumat, latar belakang dan sebagainya. Dalam keadaan ini kita
sebagai pasangannya harus cerdik dan bijaksana. Tersalah memberi maklumat
kepada musuh sesungguhnya akan mengundang bahaya kerana sejarah ada
mencatatkan tentang kisah isteri Sam’un al-Ghazi yang mendedahkan rahsia
kekuatan suaminya kepada pihak musuh hingga menyebabkan nyawa suaminya
terancam. Oleh itu janganlah terlalu jujur atau memberi segala maklumat
sehingga mendedahkan “rahsia” keselamatan pasangan. Seboleh mungkin
cubalah mengesan helah orang yang berniat jahat terhadap pasangan melalui
tutur kata atau perilaku mereka.

3. Rahsia Harta Benda: Harta benda dan kewangan pasangan juga adalah
rahsia yang wajib dijaga dan dipertahankan oleh isteri. Dalam hal ini, isteri
terutamanya yang berfungsi sebagai pengurus rumah tangga tentulah orang
yang paling berperanan dalam menjaga rahsia rumah tangga yang dibina kerana
Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik isteri
adalah yang dapat menyenangkan hati suaminya apabila suami melihatnya dan
apabila disuruh dia menurut perintahmu, dan ia dapat menjaga kehormatan
dirinya dan harta bendamu ketika engkau tiada di rumah.” (at-Thabrani)
Dalam konteks ini, rumah tangga dan segala isinya adalah dikatakan
“harta” dan benteng rahsia keluarga. Adalah menjadi tanggungjawb suami
isteri menjaganya dengan sebaik-baiknya. Sehubungan itu, Islam melarang
keras orang yang mencuri-curi pandang ke dalam rumah orang lain tanpa
mendapatkan keizinan daripada tuan rumah. Sabda Rasulullah s.a.w. : “Jika
ada orang yang menjengok-jengok rumahmu tanpa izin, lalu engkau
melontarkan batu kepadanya sehingga pecah matanya, tidaklah engkau
berdosa.” (Bukhari dan Muslim)

4. Rahsia Bilik Tidur: Inilah rahsia yang paling utama dan benteng terakhir
rahsia rumah tangga di mana rahsia yang berkaitan hubungan kelamin suami
isteri ini hendaklah disembunyikan dan hanya menjadi rahsia antara pasangan
kerana adalah haram dan berdosa hukumnya sekiranya salah seorang dari
pasangan menghebahkan hubungan mereka kepada pengetahuan, pendengaran
dan penglihatan orang lain meskipun anak-anak sendiri. Itulah sebabnya
mengapa Islam mensyariatkan agar dipisahkan tempat tidur anak-anak sejak
mereka berusia tujuh tahun serta mengajarkan kepada mereka supaya memberi
salam dan meminta izin terlebih dahulu sebelum masuk ke bilik ibu bapa mereka
terutamanya pada tiga masa seperti yang disebut di dalam al-Quran iaitu
sebelum Subuh, sekitar waktu Zuhur dan selepas Isyak kerana pada waktuwaktu
ini kemungkinan suami isteri sedang bersama atau pun mereka sedang
berehat, bersantai atau tidur.

5. Rahsia Berhubung Soal Maruah: Maruah melibatkan aurat, aib dan
kelemahan seseorang. Firman Allah S.W.T. yang maksudnya: “Adapun wanitawanita
yang solehah itu ialah wanita-wanita yang patuh (taat) dan memelihara
kehormatan dirinya semasa ketiadaan suaminya sebagaimana Allah telah
memelihara mereka.” (An-Nisa: 34) Dalam hal ini banyak perkara boleh
berlaku sekiranya pasangan gagal menjaga maruah dirinya seperti:

i. Isteri atau suami berlaku curang terhadap pasangannya.

ii. Pasangan mencari hiburan di luar rumah.

iii. Pasangan menduakan suami atau isteri.

iv. Pasangan menceritakan rahsia rumah tangganya kepada orang lain.

6. Rahsia Berhubung Nafkah: Dalam hal ini suami adalah wajib hukumnya
untuk memberi nafkah atau perbelanjaan untuk isteri dan anak-anaknya.
Pemberian ini adalah mengikut kemampuan, tidak sampai dilabelkan sebagai
suami yang bakhil dan kedekut atau pun suami yang terlalu boros dan
bermewah-mewah. Pokok pangkalnya seseorang itu wajib memberikan nafkah
menurut kemampuannya. Oleh itu permasalahan sara hidup hendaklah
dibincangkan sebaiknya dengan pasangan agar tidak menganiayai diri sendiri,
isteri mahu pun anak-anak. Malah elakkan daripada menjadi topik perbualan
atau pun umpatan orang lain lantaran kegagalan kita menyimpan rahsia
tersebut.

Jika Sudah Terpaksa

Sikap saling memahami dan berlapang dada (sabar) adalah yang paling utama
mesti ada di dalam jiwa setiap individu yang menjadi suami atau isteri. Tidak
seharusnya mana-mana pihak, suami atau isteri bertindak meluahkan perasaan
dan menceritakan rahsia pasangan kepada orang luar sebelum cuba
menyelesaikan masalah itu dengan jalan perbincangan melainkan tidak ditemui
jalan penyelesaian lain sehingga rahsia rumah tangga terpaksa diluahkan kepada
pihak ketiga.

Contohnya sebagaimana peristiwa yang telah berlaku di zaman Rasulullah
SAW di mana seorang wania mengadu kepada baginda bahawa dia telah dipukul
oleh suaminya. Pada awalnya, Rasulullah memutuskan bahawa suaminya boleh
dikenakan qisas (pukul dibalas pukul), tetapi pada ketika itu juga telah turun
wahyu yang membolehkan suami memukul isterinya dalam keadaan tertentu
iaitu dengan tujuan mendidik (bukan memukul untuk menyakitkan atau memukul
kerana geram). Secara tidak langsung, wanita tadi telah membocorkan rahsia
rumah tangganya dengan menceritakan keburukan suaminya kepada pihak
ketiga iaitu Rasulullah s.a.w.

Maka dalam kes seumpama ini, tidak menjadi kesalahan bagi isteri (atau
suami) untuk membuka rahsia rumah tangganya kerana ia dibuat demi
kepentingan atau kebaikan rumah tangga itu sendiri. Iaitu apabila timbul
masalah dalam hubungan suami isteri yang tidak dapat diselesaikan melalui
perbincangan bersama, dan pihak suami atau isteri merasakan bahawa dia sudah
tidak mampu menghadapinya, maka satu jalan penyelesaian perlu diambil
dengan melibatkan ‘orang luar’, dengan kata lain, rahsia rumah tangga terpaksa
dibuka ke pengetahuan seseorang. Maka beberapa perkara harus diambil kira
iaitu:

i) Merujuk Kepada Orang Yang Sesuai
Andainya sudah bulat tekad untuk membawa soal dalaman rumah tangga
kepada orang lain, maka haruslah dirujuk kepada orang yang tepat kerana bukan
sebarangan orang boleh menjadi tempat mengadu masalah apalagi jikalau ia
melibatkan perkara sulit. Maka pastikanlah bahawa orang yang diadu itu adalah
orang yang amanah, boleh dipercayai, memiliki sifat adil mudah dipengaruhi
emosi, tenang dan berwatak pendamai. Jika tidak, dia mungkin menjadi
penghasut dan pengusut masalah. Tidak kira sama ada ia merupakan teman
rapat atau pun seorang kaunselor yang berpengalaman, yang penting di boleh
membantu dalam memberi pandangan dan nasihat, atau menjadi orang tengah
dalam membetulkan hubungan dua hala antara suami isteri yang tergendala.

ii) Membuka Rahsia yang sesuai
Kita harus ingat bahawa orang yang diadu itu tetap merupakan ‘orang luar’
dalam konteks sesebuah rumah tangga. Oleh itu apa jua rahsia yang mahu
diceritakan kepadanya harus dibataskan kepada hal-hal yang berkaitan dengan
masalah yang dihadapi sahaja. Tidak lebih daripada itu. Jangankan disebabkan
pengaruh emosi, kita membuka segala rahsia pasangan.

iii) Merujuk kepada Hakam
“Hakam” adalah wakil daripada kedua-dua pihak suami dan isteri di mana pihak
lelaki diwakili seorang hakam, begitu juga dengan pihak wanita. Adakalanya
mahkamah sendiri yang akan melantik hakam tersebut di mana kedua-dua
hakam ini berfungsi sebagai pendamai untuk membantu menyelesaikan kes yang
dihadapi.

Hal ini disebutkan melalui firman Allah SWT yang maksudnya:
“Dan jika kamu khuatirkan ada persengketaan antara kedua-duanya
(suami isteri), maka kirimlah seorang hakam dari keluarga lelaki dan seorang
hakam dari keluarga perempuan.” (An-Nisa’: 35)

Kedua-dua hakam ini akan melakukan ‘soal selidik’ ke atas suami atau
isteri dalam sesi berasingan, untuk mengetahui punca dan kedudukan masalah.
Di sinilah pentingnya peranan hakam yang dipilih itu yang mesti memiliki sifat
sebagai orang yang boleh dipercayai, bijaksana dan adil, boleh menyimpan
rahsia, bijak bertindak dan tidak menyebelahi mana-mana pihak. Dalam hal ini,
suami mahupun isteri harus memberi kepercayaan kepada hakam di mana
sedikit sebanyak rahsia rumah tangga mereka terpaksa diluahkan. Kemudian
kedua-dua hakam ini akan bertemu untuk mencari penyelesaian. Andainya
didapati tidak ada lagi titik temu antara kedua-dua suami isteri, kedua-dua
hakam harus sepakat untuk membuat keputusan memisahkan mereka dengan
cara baik di mana ia perlu dirujuk kepada mahkamah.

iv) Merujuk kepada mahkamah
Ini merupakan peringkat terakhir di mana jalan penyelesaian melalui
perbincangan dan melalui kaunselor atau orang tengah “hakam” tidak lagi
membuka sebarang harapan untuk perdamaian. Di sini mahkamah boleh
membuat keputusan ke atas masa depan rumah tangga tersebut di mana rahsia
rumah tangga terbabit terpaksa disingkap di hadapan hakim atau mahkamah.
Mengambil Iktibar:

Teladanilah kisah-kisah yang pernah berlaku di zaman Rasulullah s.a.w. seperti
kebijaksanaan saiditina Khadijah r.a. dalam menjaga rahsia kerasulan Rasulullah
iaitu selepas menerima wahyu pertama di Gua Hira’ di mana beliau telah
bertindak bijak dengan menceritakan peristiwa itu hanya kepada orang tertentu
untuk mendapatkan pandangan dan tidak merujuk kepada sebarangan orang
tetapi memilih orang yang telah dikenal pasti layak menjadi tempat rujuk dan
boleh menyimpan rahsia. Orang itu adalah sepupunya sendiri, Waraqah bin
Naufal, seorang alim yang masih berpegang pada ajaran tauhid. Rahsia ini
disimpan kemas sehinggalah Rasulullah s.a.w. sendiri menerima perintah untuk
pergi ke tengah masyarakat menyampaikan amanah wahyu yang diterimanya.
Kesimpulannya, biar apa pun masalah yang dihadapi termasuklah hal rumah
tangga, selaku seorang Islam hendaklah kita sentiasa mengingati Allah dan
memohon bantuan daripadanya. Kerjakanlah solat istikharah dan solat hajat
sebelum membuat apa jua keputusan agar diberi hidayah dan kekuatan. Di
samping itu ambillah iktibar daripada hitam putih kehidupan masyarakat
sekeliling kita. Bak kata pepatah “Yang baik, jadikan teladan, yang buruk jadikan
sempadan.”